Dari
sudut makanan pula,tradisi berzaman masyarakat Kedayan ialah masakan Daging
Rebus Kedayan, Ayam masak Kedayan, Pais ikan, Salai Berubut, Sambal Tahai,
Tarap muda masak lemak, Nasi Kebuli, dan banyak lagi. Masakan-masakan ini
merupakan masakan asli dan agak berbeza daripada masakan masyarakat Melayu yang
lain walaupun ianya menggunakan bahan dan resepi yang hampir serupa. Selain itu
terdapat juga masakan dari tumbuhan hutan yang dimasak seperti humbut hanibung
(umbut nibung) atau humbut piasau(kelapa) yang disapak (digaul) dengan ikan
masin begitu menyelerakan semasa makan tangah hari.Begitu juga halnya dengan
kuih-kuih tradisional orang Kedayan lebih popular dengan bingka dadak kubal
chacha, gatas, wajik, kuripit ubi kayu, kelupis, pinyaram, kuih cincin,
bahaulu, sasagun, dan jelurut.
Kesenian.
Masyarakat Sabah sememangnya terkenal sebagai salah satu etnik yang kaya dengan
seni budaya yang tersendiri. Antara seni budaya masyarakat Kedayan Sabah ialah
tarian, muzik, kraf tangan, anyaman, pertahanan diri, pertukangan, ukiran, dan
binaan.
Anding ialah satu-satunya tarian tradisi kaum Kedayan yang sehingga kini masih
lagi diwarisi dan dipersembahkan. Tidak mempunyai makna khusus pada perkataan
anding, namun tarian ini agak popular dalam era 50-an. Dua Kampung yang terkenal
dan masih lagi mewarisi tarian Anding ini ialah Kampung Ulu Sipitang dan
Kampung Luagan di daerah Sipitang. Beberapa tahun lepas tarian ini telah
diangkat semula untuk diketengahkan bagi generasi muda mempelajarinya melalui
Persatuan Kedayan Sabah.
Bagi irama lagu, kaum
Kedayan ini juga mempunyai lagu-lagu tersendiri yang dinyanyikan oleh penyanyi
kaum Kedayan dengan menggunakan bahasa Kedayan seperti Baju Kabaya, Baju Kuung,
Cam Cambi, Daun Sadaman, Hujan Baai-Baai, dan Papan Manjungkat[1][9]. Selain itu juga
masyarakat Kedayan ini terkenal dengan nyanyian lagu nasyid, bergambus, tarian
zapin dan joget.
Gambus merupakan antara
alat muzik tradisional yang kian popular di kalangan suku kaum Kedayan. Pada
kebiasaanya gambus ini dimainkan semasa majlis keramaian seperti perkahwinan
dan juga menyambut tetamu yang terhormat.
Bahan untuk membuat gambus biasanya pembuat gambus akan memilih dan mengambil
kayu yang sesuai seperti kayu Santul, kayu Bulayon, dan kayu Limpadok (Bahasa
Kedayan) . Jenis kayu ini sangat sesuai dan ia sudah teruji sebagai kayu yang
sangat sesuai untuk membuat gambus.
Cerita gambus ini dipercayai berasal daripada sepasang suami isteri, di
mana kedua-dua pasangan ini tidak sehaluan kerana dipaksa berkahwin, terutama
si suami. Bagi si isteri pula amat sayang dengan suaminya sehingga di mana saja
suaminya pergi si isteri ikut sama. Dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh
si isteri terhadap suaminya, setiap kali tidur si isteri memeluk suaminya
kerana takut ditinggalkan. Bagaimanapun perbuatan si isteri itu hanya sia-sia
sahaja, kerana apabila si isteri sedar dari tidur keesokan paginya dia bukan
pula memeluk suaminya, tetapi memeluk sebatang kayu.
Oleh kerana cinta kasihnya terhadap suaminya, maka si isteri telah mengukir
kayu tersebut serupa bentuk badan suaminya dan telah dinamakan gambus. Ekoran
dari itu, gambus hingga kini menjadi kebanggan dan muzik yang popular,
khususnya di kalangan suku kaum Kedayan di Kampung Lingkungan Weston, Beaufort,
Sabah.[2][10]
Masyarakat Kedayan ini
mempunyai banyak permainan tradisi seperti bermain kuhit iaitu sejenis
permainan menggunakan tempurung kelapa yang ditebuk ditengah-tengah dan
dimainkan secara menggolek dengan menggunakan dua belah kaki. Permainan ayng
lebih popular pula ialah permainan gasing. Permainan ini menjadi permainan
tradisi yang dimainkan secara rasmi pada setiap tahun di Sipitang Sabah.
Kraftangan yang lain ialah pembuatan kikik
(layang-layang) , bagalau
Hasil pertukangan kayu
orang Kedayan ialah keupayaan mereka membuat gubang (sejenis sampan), perahu nelayan, alat membajak sawah dan
banyak lagi ukiran kayu yang kreatif. Kraftangan kayu yang lain terdapat juga
berberapa hasil rekabentuk seperti rempana (rebana;kompang), dan baduk. Selain
itu juga terdapat beberapa hasil ukiran tangan pada barang-barang kemas dan
tembaga. Begitu juga dengan ukiran pada senjata seperti keris yang mempunyai
daya kreativiti asli masyarakat Kedayan.
Kraftangan lain yang juga
dihasilkan oleh masyarakat ini ialah seperti anyaman peralatan kegunaan dapur
seperti membuat nyiru dan ayagan (alat untuk mengayak beras dan padi), bubu dan siyut (alat dibuat
daripada buluh untuk menangkap ikan), belatak
dan talaya.
Bentuk binaan rumah kaum
Kedayan dipengaruhi oleh masyarakat Melayu Brunei dan kebudayaan setempat.
Biasanya rumah masyarakat ini berkonsepkan rumah balah bubung (belah bumbung). Ianya terbahagi kepada tiga bahagian
iaitu pantaran (luar rumah), langgar (ruang tamu) dan dapur. Begitu pun rumah
Kedayan tradisional begitu ringkas, bertiangkan kayu yang ala kadar besarnya,
berlantaikan buluh, beratapkan daun nipah, untuk mencantum dari tiang ke atap,
tiada sebilah paku yang digunakan, semuanya menggunakan lilitan dan ikatan
rotan mahupun akar. Antara jenis ikatan yang digunakan ialah ikatan angit,
ikatan tindih, ikatan tapak pelanduk dan ikatan genggam ambuk.
Nama-nama lantai dan rangka
rumah hingga ke atap antaranya; sangka(r) tiang belakang, sangka(r) tap balaai,
suga-suga, kasau, tetaban, penyucuk, gelagaa(r) laas, bumbung dan atap.
Bagi kebanyakan alat muzik
masyarakat bumiputera Sabah pula diperbuat daripada buluh. Terdapat pelbagai
jenis alat muzik yang dicipta.Penciptaan alat muzik ini menunjukkan masyarakat
Sabah mempunyai kemahiran dan keunikannya yang tersendiri.
Bagi masyarakat Kedayan, Kulintangan
Kayu Sadaman ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular.
Biasanya kulintangan ini dimainkan oleh tiga atau empat orang pemain, dan
dimainkan semasa majlis perkahwinan, menyambut tetamu, dan juga majlis keramaian
suku kaum Kedayan. Alat muzik ini pada keseluruhannya diperbuat sepenuhnya
daripada kayu Sadaman.[3][11]
Dari sudut pertahanan diri,
kaum Kedayan juga turut mewarisi seni persilatan.
Sosiobudaya masyarakat
Kedayan di Sabah banyak dipengaruhi oleh keadaan di sekelilingnya. Pada
kebiasannya budaya hidup masyarakat ini dipengaruhi oleh ahli keluarga dan
masyarakat yang akan membimbing golongan muda mengenai peraturan,adat resam,
agama serta kepercayaan yang telah diwarisi mereka sejak turun-temurun. Pada
umumnya seseorang individu itu akan lebih memahami sosiobudaya hidup masyarakat
mereka melalui pendidikan tidak formal yang bermula dari rumah sehinggalah
kepada komuniti tersebut.
Pada kewujudan kaum
Kedayan,kaum ini mempunyai tempat tinggal yang dipunyai oleh dua kelompok yang
berbeza dan berasingan, iaitu yang tinggal di pesisiran pantai dan kuala sungai
yang bekerja sebagai nelayan.Manakala satu kelompok lagi mendiami kawasan
pendalaman dan bekerja sebagai petani dan pesawah. Kehidupan tradisi masyarakat
Kedayan adalah bergantung kepada kegiatan-kegiatan ekonomi tradisional seperti
mengusahakan sesuatu bagi memenuhi keperluan dalam kehidupan harian.
Begitupun pada ketika ini
kegiatan ekonomi masyarakat Kedayan ini telah berubah dan menjadi moden
berbanding kehidupan masyarakat dahulu. Kedayan sekarang ini lebih banyak
bergantung atau bekerja dengan Kerajaan dan juga dalam sektor swasta. Jika
adapun,masyarakat Kedayan yang masih melakukan aktiviti seperti bertanam
hanyalah sebahagian orang-orang tua yang hanya bertujuan untuk mengisi masa
lapang dan untuk keperluan mereka sahaja. Corak kehidupan tradisi masyarakat
Kedayan mempunyai kaitan yang sangat rapat dalam bidang pertanian . Kegiatan
pertanian ini telah dijadikan sebagai sumber pendapatan yang utama bagi
kehidupan puak Melayu Kedayan ketika itu.
Antara aktiviti pertanian yang mereka usahakan ialah penanaman padi,
buah-buahan, sayur-sayuran dan menternak haiwan peliharaan seperti ayam dan
itik. Aktiviti lain yang turut diusahakan termasuklah memburu binatang kerana
faktor geologi dan kedudukan penempatan yang dikelilingi hutan telah mendorong
kegiatan ini. Salah satunya ialah mundul taipas (taripas). Selain itu
kedudukan mereka di persisiran pantai dan tepi sungai juga telah mendorong
kegiatan ekonomi lain seperti menangkap ikan dengan cara tradisional. Salah satunya
mereka akan memancing ikan dengan menggunakan peralatan tradisi seperti bubu, jala dan siyut untuk ikan air
tawar dan menggunakan pukat dan ancau
apabila menangkap ikan di laut.
Peraturan dan Adat Resam.
Masyarakat Sabah
sememangnya kaya dengan adat resam dan pantang larang hidup yang tersendiri.
Hal ini telah menjadikan adat dan pantang larang sebagai panduan dan pedoman
dalam kehidupan seharian masyarakat bumiputera di Sabah. Amalan adat dan
pantang larang dalam sesebuah masyarakat ini bertujuan memelihara dan menjamin
kesejahteraan hidup.
Masyarakat Kedayan seperti
juga halnya dengan masyarakat Melayu di Semananjung Malaysia dan Sarawak
mempunyai adat dan budaya yang sama serta saling mempercayai dan mematuhi
undang-undang adat. Jika seseorang itu tidak mematuhi undang-undang adat yang
ditetapkan, maka sesuatu perkara yang tidak baik serta malapetaka akan menimpa
masyarakat tersebut. Begitupun ianya Terdapat beberapa undang-undang adat yang
menjadi amalan penduduk di Sabah. Antaranya yang berkaitan dengan pertanian,
perkahwinan, dan kematian.
Adat Pertanian
Faktor geografi dan lokasi setempat masyarakat Kedayan telah mendorong kepada
kegiatan sosioekonomi dalam bidang pertanian, memburu dan nelayan. Penanaman
padi merupakan pekerjaan utama masyarakat ini sehingga kini masih lagi
mengamalkan pertanian tradisi. Sebelum menanam dan ‘mengatam’ (menuai) padi dijalankan kawasan penanaman padi terlebih
dahulu di’tetakan’ (dibaca doa) oleh
seorang pawang dengan cara manangas (Membaca ayat suci atau doa)
di sekeliling kawasan padi padi empat
penjuru.
Apabila
padi telah masak petani-petani ini akan batulong-tulongan (bantu-mambantu)
mengatam padi. Padi yang telah diketam
(dituai) akan di simpan di dalam durong
iaitu sebuah tempat yang dibuat untuk berehat dan menyimpan padi. Kerabau masih
digunakan untuk membantu petani mengangkut hasil padi begitu juga sebagai
jentera untuk membajak sawah. Secara tradisinya para petani ini juga akan
menggunakan alat galok (sabit) untuk mengetam (menuai) padi .
Di samping itu para petani Kedayan juga melakukan aktiviti mundul taipas (cara menangkap burung taripas). Aktiviti ini
sememangnya telah terkenal di kalangan kaum Kedayan. Untuk menangkap burung ini
mereka akan menggunakan jaring mengikut cara tradisi mereka. Selain itu memburu
payau (rusa) juga merupakan pekerjaan
rutin pada musim menuai .
Bagi penduduk Kedayan yang tinggal di persisiran pantai dan di tebing sungai
pula lebih cenderung kepada aktiviti nelayan. Sama halnya seperti
nelayan-nelayan dari suku kaum yang lain nelayan Kedayan menjalankan aktiviti
mengangkap ikan dengan menggunakan rambat
(jala), pukat, bujak (lembing), bubu,
babang dan manimba untuk menangkap ikan.
Gubang (perahu kecil)dan perahu merupakan sejenis pengangkutan air yang
popular, juga akan digunakan untuk mengangkap ikan. Gubang juga telah menjadi
kenderaan pengangkutan utama suatu ketika dahulu untuk mengangkut hasil tanaman
dan makanan seperti padi dan beras.
Adat Perkahwinan
Setiap kumpulan etnik di
Sabah mempunyai adat tersendiri dalam menjalankan upacara perkahwinan. Bagi
masyarakat Kedayan, adat perkahwinan adalah sama seperti juga masyarakat
Melayu. Umumnya adat sesebuah perkahwinan masyarakat ini dimulakan dengan
berjarum-jarum (merisik) di mana keluarga laki-laki dating ke rumah bini-bini
(perempuan).
"Adat perkahwinan masa dulu ani ialah kepala baiyairinya ialah
kinkin pembuka mulut kayis laki-laki yang mengantati arah bini-bini karang ani
inda lagi ada usuri sebagai penggantinya mun kelangkahan dulang adik kahwin
dulu bagi yang bini-bini yang laki-laki inda pulang ada bagi kelangkahan dulang
laki-laki ani masti bagi kinkin kepada yang dilangkahi dulang atu sepasang
seorang tu sama seperti yang di bagi kepada pengantin perempuan kalau bangsa
lani lagi banyak ankup dangan sepasang kasut kinkin sebantuk dan tudung dulang
jua tanda bertunang kinkin sebantuk pembuka mulut seperti basar-basar jarum atu
mulanya seratus saja belanja hangus kaban lima belas ijib saja seekong jadi
kira mulanya belanja karun masa dulu atu." Oleh Piah Bte Karim (umur 70
tahun, 2000), Limbang, Sarawak.
Selepas itu diikuti dengan
bersarang gundih (meminang) dengan membawa sebentuk kinkin (cincin). dan acara
mengantat barian (hantaran kahwin). Mengantat berian ini biasanya bakal
pengantin laki-laki akan memberi wang hantaran bersama seikung kerabau (seekor
kerbau).Seterusnya apabila kata sepakat telah dicapai majlis nikah akan
dilangsungkan dengan diikuti majlis bertimbang (bersanding).
Seminggu sebelum majlis
kahwin diadakan memucang (gotong-royong) kalangan keluarga terdekat dan jiran
datang untuk membuat persiapan perkahwinan. Biasanya memucang ini dilakukan
bagi mempersiapkan khemah, dapur memasak (tempat mendadih) dan membuat
kuih-muih. Sehari sebelum majlis perkahwinan pula majlis mendadih (memasak)
iaitu mengelupis (sejenis makanan seperti ketupat yang diperbuat daripada
pulut) . Menyembelih kerbau secara berami-ramai seringkali dilakukan untuk
dijadikan lauk-pauk semasa jamuan makan. Daging kerbau tersebut seterusnya
dipotong-potong dengan mengarap (mencincang) biasanya dilakukan oleh kaum
wanita secara beramai-ramai.
Adat bagi pengantin
perempuan (bini-bini) pula, terlebih dahulunya sebelum menjelang saat
perkahwinan orang-orang tua telah memberikan beberapa petua dan adat tradisi
yang mesti dipatuhi. Umpamanya mandi langir bagi membersihkan dan mencantikkan
wajah dan kulit bakal pengantin perempuan. Sesetengah adat pula melarang bakal
pengantin perempuan ini keluar rumah selama satu atau dua minggu sebelum majlis
perkahwinan. Adat ini mesti dipatuhi kerana khuatir akan berlaku sesuatu
perkara yang tidak diingini berlaku ke atas bakal pengantin.
Pada malam selepas diijab
Kabul (nikah) pula dilangsungkan majlis malam bebadak (majlis berinai) . Pada
malam ini majlis disertai bacaan berzanji, merhaban dan selawat ke atas nabi
s.a.w. Majlis merenjis pengantin akan dilakukan oleh kaum keluarga dan jiran
yang hadir dalam majlis ini semasa selawat nabi dialungkan. Selepas itu
diadakan pula acara bergambus (tari-menari) dan dan pada ketika ini diadakan
juga acara karaoke. Menjelang larut malam pula diadakan acara Mukun atau
Bergendang..Acara ini sangat popular
pada ketika dahulu di mana tiga orang wanita pemukul gendang atau rempana
sambil berpantun seloka, berbalas-balas dengan sesiapa sahaja yang berminat
untuk berbalas pantun. Kaum Kedayan merujuk pantun sebagai pantun atau
sabut-sabutan (walaupun kebanyakannya merujuk teka-teki)Si penjual pantun pula
akan menyampaikan pantun dengan intonasi dan suara mengikut rentak gendang yang
dialunkan.
Biasanya kaum wanita yang
menjual pantun untuk dibalas oleh golongan lelaki, tidak kira tua mahupun muda.
Begitupun lain pula halnya bagi pengantin, seluruh badannya akan disapu dengan
dadak (bedak yang diperbuat daripada beras dan semua jari tangan dan kaki akan
dipacari (inai).
Pada hari majlis
perkahwinan diadakan jamuan makan kepada semua yang hadir dan yang dating pula
akan membawa buah tangan untuk diberi kepada pihak pengantin. Mandi pengantin
dilakukan dengan beradat sambil diiringi dengan pukulan gulintangan dan
rempana. Seperti juga dengan tradisi masyarakat Melayu, pengantin lelaki yang
akan bertandang ke rumah pengantin perempuan akan diiringi oleh kumpulan
rempana(kompang) dambil membawa bunga manggar. Pengantin lelaki ini akan
ditunda (dipimpin) dengan menggunakan saputangan oleh seorang imam atau orang
yang dianggap layak memimpinnya. Majlis bertimbang ( bersanding) dilakukan dari
atas pelamin sehinggalah ke luar rumah supaya yang hadir dapat menyaksikan
kedua-dua pengantin tersebut. Pada malam itu pula pasangan pengantin ini
dilarang tidur kerana dipercayai sesiapa yang tidur akan mati cepat. Selain itu
acara maliwan (Pengantin lelaki akan membawa isteri bersama rombongan balik ke
rumahnya) diadakan selepas tiga atau lima hari majlis perkahwinan.
Adat Kenduri
Kenduri ialah majlis
membaca doa dengan menjemput saudara mara dan jiran terdekat dan disajikan
dengan jamuan makan selepas membaca doa. Kenduri yang biasanya dilakukan oleh
masyarakat Kedayan ialah kenduri doa selamat bagi menyatakan maksud mensyukuri
setelah mendapat sesuatu dan kenduri ini biasanya dibuat selepas mengatam padi.
Begitu juga halnya dengan kenduri menyambut kelahiran bayi, kenduri gunting
rambut bayi, kenduri selepas berkhatan dan kenduri doa arwah iaitu kenduri
mengingati keluarga yang telah meninggal dunia. Selain itu ada juga sesetengah
orang tua yang masih mempercayai kenduri membaca doa tolak bala kerana rumah
dimasuki oleh binatang liar seperti ular dan biawak.
Adat kelahiran
Biasanya adat kelahiran ini
adalah berpandukan kepada hukum dan syariat dalam Islam. Anak yang baru
dilahirkan akan dibangkan (diazankan) oleh bapa atau lelaki terdekat kepada
anak berkenaan). Seterusnya akikah dilaksanakan sebagai perkara sunat mengikut
Islam bagi anak yang baru dilahirkan itu. Adat bercukur pula dilakukan apabila
anak tersebut telah melangkui usia 1 bulan diadakan secara beramai-ramai dengan
melagau (memanggil) saudara mara dan jiran terdekat .
Adat ini biasanya diadakan
bacaan berzanji, merhaban dan berselawat ke atas nabi sambil anak tersebut
dipotong beberapa helai rambut dan ditabur beras kunyit dan direnjis dengan
wangi-wangian. Adat kelambiji (bersunat) juga masih dilakukan sehingga ke hari
ini. Majlis ini biasanya dilakukan selepas anak lelaki tersebut berkhatan.
Majlis yang dilakukan sama seperti majlis cukur rambut.
Adat Kematian
Apabila seseorang itu telah
menginggal dunia, beberapa kepercayaan dan telah menjadi amalan sunnah yang
perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. Ianya dilakukan
adalah bagi mendoakan si mati semoga roh simati diampuni dosa dan sejahtera.
Sebagai memenuhi tuntutan agama masyarakat Kedayan akan mengadakan majlis ini
dengan menjemput saudara mara dan jiran untuk mengadakan sembahyang di rumah si
mati selama tujuh hari berturut-turut. Selepas itu diadakan kenduri tiga hari
diikuti Makan Tujuh hari (kenduri hari ke tujuh) dan kenduri makan empat puluh
hari. Kenduri Jumat-jumatan (setiap malam Jumaat) juga diadakan sehingga empat
puluh hari tadi. Ini diikuti dengan kenduri haul (ulang tahun kematian) yang
akan diadakan pada setiap tahun bagi mengenang kemangkatan si mati.
Kenduri arwah juga turut
diadakan pada setiap tahun menjelangnya bulan Syaaban (taqwim Islam) dan
biasanya selepas Nisfu Syaaban sebelum menjelangnya Bulan Ramadhan.
Pendidikan
Masyarakat Kedayan di Sabah menerima pendidikan formal dan pendidikan tidak
formal. Pendidikan tidak formal dipelajari oleh kanak-kanak melalui keluarga
atau masyarakat yang bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran dalam
kehidupan. Pada peringkat ini kanak-kanak telah diajar cara-cara seperti
memancing, memanja, berburu, bertukang, menyumpit,bersawah, dan berternak.
Pendidikan ini bermula dengan mengajar kanak-kanak mempelajari kemahiran ini
bagi membolehkan mereka berdikari apabila
dewasa kelak.
Atas kesedaran mengenai dengan kepentingan
pendidikan bagi anak-anak, masyarakat Kedayan juga tidak ketinggalan bagi
memberikan pendidikan yang tinggi kepada anak-anak mereka. Anak-anak telah
dihantar ke sekolah bagi menimba ilmu pengetahuan yang amat berguna suatu masa
kelas di samping dapat mengubah kehidupan mereka sebelum ini yang hanya
mengharapkan kepada bercucuk tanam sahaja.
Pendidikan secara formal
pula amat terhad dan hanya tertumpu pada pendidikan agama Islam seperti membaca
al-Quran dan menulis jawi yang diadakan di surau, pondok, serta rumah guru
agama. Begitupun pendidikan sekular tidak diabaikan dan menjadikan pendidikan
ini sebagai wajib kepada anak-anak masyarakat Kedayan bagi menghadapi masa
depan. Anak-anak masyarakat Kedayan mendapat pendidikan asas ini dengan belajar
secara formal di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta. Pada peringkat umur 3
hingga 6 tahun anak-anak ini telah menduduki sekolah di Taman Didikan Kanak-kanak
( TADIKA), Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), Taman Asuhan Kanak-kanak
(TASKA) dan di sekolah-sekolah swasta.
Pada peringkat 7 hingga 12
tahun anak-anak masyarakat Kedayan menerima pendidikan di sekolah-sekolah
kebangsaan dan sehinggalah ke sekolah menengah (13 hingga 17) tahun. Selain itu
juga pendidikan masyarakat ini juga telah mendapat pendidikan sehingga mencapai
ke peringkat ijazah.dengan mengikuti program pensiswazahan di
universiti-universiti tempatan dan luar negara.
Kepercayaan dan agama
Masyarakat etnik di Sabah
pada peringkat awal adalah pagan dan mengamalkan kepercayaan animisme.
Setiap etnik mempunyai nilai hidup yang berbeza antara satu sama lain. Pengaruh
agama Islam pada abad ke-16 secara beransur-ansur telah membawa perubahan dalam
kehidupan mereka dan nilai-nilai Islam telah diamalkan terutamanya di kalangan
etnik Bajau dan Melayu-Brunei. Begitu juga bagi etnik Kedayan, Islam merupakan
agama yang telah dianuti sejak turun-temurun.
Kepercayaan dan pantang
larang masyarakat Kedayan tidak banyak bezanya seperti masyarakat Melayu di
Semenanjung dan di Sarawak.Begitu juga
seperti masyarakat Islam yang lain, kaum Kedayan juga menyambut hari raya
Aidilfitri, hari raya Aidil adha, Maulud nabi s.a.w, Nisfu Syaaban dan Awal
Muharram.
Ilmu batin orang Kedayan
Dalam
kajian ini juga saya sempat merujuk kepada orang yang tahu tentang ilmu
kebatinan orang Kadayan bahawa sebahagian dari ilmu kebatinan kaum ini adalah
terpesong dari akidah kita sebagai umat Islam, terutama sekali yang menggunakan
mentera. Begitupun dalam kajian ini , ada juga terdapat ilmu kebatinan suku
kaum Kadayan yang menggunakan ayat-ayat suci al-quran dan berlandaskan
sepenuhnya kepada tatacara dan peradaban Islam, terutamanya dibidang perubatan
tradisional.
Pada
ketika dahulu ilmu kebatinan ini biasanya digunakan untuk ‘mencuba’ sesuatu kepada perkara atau perbuatan orang. Pada masa
dahulu orang-orang tua ‘batupa’(berlawan;bersaing)
ilmu batin ini, yang menunjukkan siapa yang lebih tinggi ilmunya. Antaranya
ilmu kebatinan yang digunakan apabila adanya majlis perkahwinan atau keramaian,
ada di antaranya yang mencubu ilmu batin dalam masakan yang dimasak dalam
majlis tersebut. Apa yang berlaku apabila mereka memasak sesuatu
makanan(seperti daging) itu tidak akan masak walaupun telah dimasak sehingga
berjam-jam lamanya. Bahkan apabila menanak nasi dalam kawah juga tidak akan
masak walaupun telah berbau hangit tetapi di atasnya masih juga beras.
Lain
pula halnya dengan senapang tidak meletup apabila dipetik bucunya. Ini juga pernah
berlaku pada ketika majlis perkahwinan, pengantin lelaki yang datang ke rumah
pengantin perempuan akan disambut dengan letupan seperti mercun dan tembakan
senapang. Ada di antaranya orang tua yang mempunyai ilmu batin in ‘mencuba’
ilmu batin mereka sehingga senapang itu tidak meletup atau berbunyi walaupun
berulang kali di petik.
Selain
itu ada juga ilmu batin orang Kedayan ini yang pandai bermain api yang boleh
terbang pada waktu malam. Pada orang tua-tua jika ternampak api di atas pokok
durian atau di udara, janganlah kita lihat atau tegur kerana ianya boleh
membawa musibah kepada yang melawannya.
Ilmu Pantak[1][6] merupakan salah satu ilmu
ghaib yang masih diamalkan dalam masyarakat Kedayan. Ianya lebih kepada ilmu
yang menyebabkan seseorang itu akan sakit dan mungkin juga menemui ajal jika
terkena ilmu pantak ini. Suatu ketika dahulu ilmu ini diamalkan oleh orang
tua-tua dan ianya telah semakin pudar kerana pengamal ilmu ini telah meninggal
dunia dan ianya bertentangan dengan ajaran Islam.
Ilmu Pugai sememangnya
telah terkenal sejak zaman dahulu dalam masrayakat Kedayan. Biasanya ilmu ini
seperti juga ilmu pukau yang menyebabkan seseorang anak dara itu terpikat
kepada seorang lelaki yang ‘memugainya’.
berkeinginan untuk memperisterikannya.
Tapi oang Kadayan jangan dicabar pasal mahunja
pasangan. Ada oang Kadayan yang pandai MUGAI. Aku nie tadangaa caita jua
nganya, sama ada banaa atu inda, inda taku tahu, tapi PUGAI dikalangan
masyarakat Kadayan mimang ujud. Sakuat-kuat PUGAI, caita oang patuhaan mulanya
ialah bila bisia dapat MUGAI batu pangilingan lada bananang atas aing. Sandi tu
PUGAI Kadayan. Bilakan dikia-kia, batu pangilingan lada atu baat, apa jua
olahnya bananang kian. Amun batu pangilingan lada dapat bananang atas aing, apa
lagi jalama. Sandi, sandi. Ani kan caita jua nganya. Aku inda ku balajaa ilmu
PUGAI.[2][7]
Selain itu terdapat juga
kepercayaan tentang burung yang membawa pelbagai khabar yang tidak baik akan
berlakunya sesuatu yang buruk di komuniti tersebut masih lagi dipercayai.
Kalau nya kadayan di Brunei Darussalam burung Bugang anitah yang suka
membawa khabar inda baik bila ia berbunyi siring rumah diwaktu malam. Kunonnya
ada adatah orang kan Nuhon atau sakit kuat sebagai tanda tanda orang hampir
siring rumah kan Nuhon. Kepercayaan ini masih dipercayai oleh orang tuha tuha
kitani di Brunei Darussalam yang lahir sebelum tahun 70an.Tetapi generasi muda
kitani inda ingau lagi pasal bunyian bunyian burung burung membawa khabar ani.
Kerana agama kitani Islam sudah kuat berkembang.
Begitu jua ceritanya dengan burung Tuit-tuit bila berbunyi dan lacus
lacus terabang barang kepala. Apalagi bila masa menyiut Mengkutut/Bangkutut
(udang air tawar) lakas lakastah mulih ketungkalan takut ada yang kan Nuhon
dikampung. Bugang jua mun ia hinggap di Bubung rumah masyarakat kitani dahulu
lakas lakas makan doa selamat tolak bala ditakuti mati serumah. Begitulah
sedikit ceritanya ditempat kami di Negara Brunei Darussalam yang ada masih
mempercayainya.[3][8]
Kepercayaan lain pula,
masyarakat Kedayaan juga percaya sebelum bertolak meninggalkan rumah untuk
pergi ke suatu tempat yang jauh. Jika sekiranya ada kucing melintas di hadapan
atau kedengaran bunyi burung gagak sebelum kita berangkat, hendaklah kiuta membatalkan
pemergian tersebut kerana bimbang akan berlakunya sesuatu yang tidak baik ke
atas kita atau keluarga kita. Petanda ini masih lagi dipercayai oleh masyarakat
di kampung sehingga hari ini.