Sunday, 8 April 2012

Sosiobudaya, Adat resam, Sistem sosial, dan Pendidikan Kedayan



Sosiobudaya masyarakat Kedayan di Sabah banyak dipengaruhi oleh keadaan di sekelilingnya. Pada kebiasannya budaya hidup masyarakat ini dipengaruhi oleh ahli keluarga dan masyarakat yang akan membimbing golongan muda mengenai peraturan,adat resam, agama serta kepercayaan yang telah diwarisi mereka sejak turun-temurun. Pada umumnya seseorang individu itu akan lebih memahami sosiobudaya hidup masyarakat mereka melalui pendidikan tidak formal yang bermula dari rumah sehinggalah kepada komuniti tersebut.

Pada kewujudan kaum Kedayan,kaum ini mempunyai tempat tinggal yang dipunyai oleh dua kelompok yang berbeza dan berasingan, iaitu yang tinggal di pesisiran pantai dan kuala sungai yang bekerja sebagai nelayan.Manakala satu kelompok lagi mendiami kawasan pendalaman dan bekerja sebagai petani dan pesawah. Kehidupan tradisi masyarakat Kedayan adalah bergantung kepada kegiatan-kegiatan ekonomi tradisional seperti mengusahakan sesuatu bagi memenuhi keperluan dalam kehidupan harian.

Begitupun pada ketika ini kegiatan ekonomi masyarakat Kedayan ini telah berubah dan menjadi moden berbanding kehidupan masyarakat dahulu. Kedayan sekarang ini lebih banyak bergantung atau bekerja dengan Kerajaan dan juga dalam sektor swasta. Jika adapun,masyarakat Kedayan yang masih melakukan aktiviti seperti bertanam hanyalah sebahagian orang-orang tua yang hanya bertujuan untuk mengisi masa lapang dan untuk keperluan mereka sahaja. Corak kehidupan tradisi masyarakat Kedayan mempunyai kaitan yang sangat rapat dalam bidang pertanian . Kegiatan pertanian ini telah dijadikan sebagai sumber pendapatan yang utama bagi kehidupan puak Melayu Kedayan ketika itu.

Antara aktiviti pertanian yang mereka usahakan ialah penanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan menternak haiwan peliharaan seperti ayam dan itik. Aktiviti lain yang turut diusahakan termasuklah memburu binatang kerana faktor geologi dan kedudukan penempatan yang dikelilingi hutan telah mendorong kegiatan ini. Salah satunya ialah mundul taipas (taripas). Selain itu kedudukan mereka di persisiran pantai dan tepi sungai juga telah mendorong kegiatan ekonomi lain seperti menangkap ikan dengan cara tradisional. Salah satunya mereka akan memancing ikan dengan menggunakan peralatan tradisi seperti bubu, jala dan siyut untuk ikan air tawar dan menggunakan pukat dan ancau apabila menangkap ikan di laut.


Peraturan dan Adat Resam.

Masyarakat Sabah sememangnya kaya dengan adat resam dan pantang larang hidup yang tersendiri. Hal ini telah menjadikan adat dan pantang larang sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian masyarakat bumiputera di Sabah. Amalan adat dan pantang larang dalam sesebuah masyarakat ini bertujuan memelihara dan menjamin kesejahteraan hidup.
           

Masyarakat Kedayan seperti juga halnya dengan masyarakat Melayu di Semananjung Malaysia dan Sarawak mempunyai adat dan budaya yang sama serta saling mempercayai dan mematuhi undang-undang adat. Jika seseorang itu tidak mematuhi undang-undang adat yang ditetapkan, maka sesuatu perkara yang tidak baik serta malapetaka akan menimpa masyarakat tersebut. Begitupun ianya Terdapat beberapa undang-undang adat yang menjadi amalan penduduk di Sabah. Antaranya yang berkaitan dengan pertanian, perkahwinan, dan kematian.

Adat Pertanian

Faktor geografi dan lokasi setempat masyarakat Kedayan telah mendorong kepada kegiatan sosioekonomi dalam bidang pertanian, memburu dan nelayan. Penanaman padi merupakan pekerjaan utama masyarakat ini sehingga kini masih lagi mengamalkan pertanian tradisi. Sebelum menanam dan ‘mengatam’ (menuai) padi dijalankan kawasan penanaman padi terlebih dahulu di’tetakan’ (dibaca doa) oleh seorang pawang dengan cara manangas (
Membaca ayat suci atau doa) di sekeliling kawasan padi padi empat penjuru.

Apabila padi telah masak petani-petani ini akan batulong-tulongan (bantu-mambantu) mengatam padi. Padi yang telah diketam (dituai) akan di simpan di dalam durong iaitu sebuah tempat yang dibuat untuk berehat dan menyimpan padi. Kerabau masih digunakan untuk membantu petani mengangkut hasil padi begitu juga sebagai jentera untuk membajak sawah. Secara tradisinya para petani ini juga akan menggunakan alat galok (sabit) untuk mengetam (menuai) padi .

Di samping itu para petani Kedayan juga melakukan aktiviti mundul taipas (cara menangkap burung taripas). Aktiviti ini sememangnya telah terkenal di kalangan kaum Kedayan. Untuk menangkap burung ini mereka akan menggunakan jaring mengikut cara tradisi mereka. Selain itu memburu payau (rusa) juga merupakan pekerjaan rutin pada musim menuai .

Bagi penduduk Kedayan yang tinggal di persisiran pantai dan di tebing sungai pula lebih cenderung kepada aktiviti nelayan. Sama halnya seperti nelayan-nelayan dari suku kaum yang lain nelayan Kedayan menjalankan aktiviti mengangkap ikan dengan menggunakan rambat (jala), pukat, bujak (lembing), bubu, babang dan manimba untuk menangkap ikan. Gubang (perahu kecil)dan perahu merupakan sejenis pengangkutan air yang popular, juga akan digunakan untuk mengangkap ikan. Gubang juga telah menjadi kenderaan pengangkutan utama suatu ketika dahulu untuk mengangkut hasil tanaman dan makanan seperti padi dan beras.


Adat Perkahwinan

Setiap kumpulan etnik di Sabah mempunyai adat tersendiri dalam menjalankan upacara perkahwinan. Bagi masyarakat Kedayan, adat perkahwinan adalah sama seperti juga masyarakat Melayu. Umumnya adat sesebuah perkahwinan masyarakat ini dimulakan dengan berjarum-jarum (merisik) di mana keluarga laki-laki dating ke rumah bini-bini (perempuan).

"Adat perkahwinan masa dulu ani ialah kepala baiyairinya ialah kinkin pembuka mulut kayis laki-laki yang mengantati arah bini-bini karang ani inda lagi ada usuri sebagai penggantinya mun kelangkahan dulang adik kahwin dulu bagi yang bini-bini yang laki-laki inda pulang ada bagi kelangkahan dulang laki-laki ani masti bagi kinkin kepada yang dilangkahi dulang atu sepasang seorang tu sama seperti yang di bagi kepada pengantin perempuan kalau bangsa lani lagi banyak ankup dangan sepasang kasut kinkin sebantuk dan tudung dulang jua tanda bertunang kinkin sebantuk pembuka mulut seperti basar-basar jarum atu mulanya seratus saja belanja hangus kaban lima belas ijib saja seekong jadi kira mulanya belanja karun masa dulu atu." Oleh Piah Bte Karim (umur 70 tahun, 2000), Limbang, Sarawak.

Selepas itu diikuti dengan bersarang gundih (meminang) dengan membawa sebentuk kinkin (cincin). dan acara mengantat barian (hantaran kahwin). Mengantat berian ini biasanya bakal pengantin laki-laki akan memberi wang hantaran bersama seikung kerabau (seekor kerbau).Seterusnya apabila kata sepakat telah dicapai majlis nikah akan dilangsungkan dengan diikuti majlis bertimbang (bersanding).

Seminggu sebelum majlis kahwin diadakan memucang (gotong-royong) kalangan keluarga terdekat dan jiran datang untuk membuat persiapan perkahwinan. Biasanya memucang ini dilakukan bagi mempersiapkan khemah, dapur memasak (tempat mendadih) dan membuat kuih-muih. Sehari sebelum majlis perkahwinan pula majlis mendadih (memasak) iaitu mengelupis (sejenis makanan seperti ketupat yang diperbuat daripada pulut) . Menyembelih kerbau secara berami-ramai seringkali dilakukan untuk dijadikan lauk-pauk semasa jamuan makan. Daging kerbau tersebut seterusnya dipotong-potong dengan mengarap (mencincang) biasanya dilakukan oleh kaum wanita secara beramai-ramai.

Adat bagi pengantin perempuan (bini-bini) pula, terlebih dahulunya sebelum menjelang saat perkahwinan orang-orang tua telah memberikan beberapa petua dan adat tradisi yang mesti dipatuhi. Umpamanya mandi langir bagi membersihkan dan mencantikkan wajah dan kulit bakal pengantin perempuan. Sesetengah adat pula melarang bakal pengantin perempuan ini keluar rumah selama satu atau dua minggu sebelum majlis perkahwinan. Adat ini mesti dipatuhi kerana khuatir akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku ke atas bakal pengantin.

Pada malam selepas diijab Kabul (nikah) pula dilangsungkan majlis malam bebadak (majlis berinai) . Pada malam ini majlis disertai bacaan berzanji, merhaban dan selawat ke atas nabi s.a.w. Majlis merenjis pengantin akan dilakukan oleh kaum keluarga dan jiran yang hadir dalam majlis ini semasa selawat nabi dialungkan. Selepas itu diadakan pula acara bergambus (tari-menari) dan dan pada ketika ini diadakan juga acara karaoke. Menjelang larut malam pula diadakan acara Mukun atau Bergendang..Acara ini sangat popular pada ketika dahulu di mana tiga orang wanita pemukul gendang atau rempana sambil berpantun seloka, berbalas-balas dengan sesiapa sahaja yang berminat untuk berbalas pantun. Kaum Kedayan merujuk pantun sebagai pantun atau sabut-sabutan (walaupun kebanyakannya merujuk teka-teki)Si penjual pantun pula akan menyampaikan pantun dengan intonasi dan suara mengikut rentak gendang yang dialunkan.

Biasanya kaum wanita yang menjual pantun untuk dibalas oleh golongan lelaki, tidak kira tua mahupun muda. Begitupun lain pula halnya bagi pengantin, seluruh badannya akan disapu dengan dadak (bedak yang diperbuat daripada beras dan semua jari tangan dan kaki akan dipacari (inai).

Pada hari majlis perkahwinan diadakan jamuan makan kepada semua yang hadir dan yang dating pula akan membawa buah tangan untuk diberi kepada pihak pengantin. Mandi pengantin dilakukan dengan beradat sambil diiringi dengan pukulan gulintangan dan rempana. Seperti juga dengan tradisi masyarakat Melayu, pengantin lelaki yang akan bertandang ke rumah pengantin perempuan akan diiringi oleh kumpulan rempana(kompang) dambil membawa bunga manggar. Pengantin lelaki ini akan ditunda (dipimpin) dengan menggunakan saputangan oleh seorang imam atau orang yang dianggap layak memimpinnya. Majlis bertimbang ( bersanding) dilakukan dari atas pelamin sehinggalah ke luar rumah supaya yang hadir dapat menyaksikan kedua-dua pengantin tersebut. Pada malam itu pula pasangan pengantin ini dilarang tidur kerana dipercayai sesiapa yang tidur akan mati cepat. Selain itu acara maliwan (Pengantin lelaki akan membawa isteri bersama rombongan balik ke rumahnya) diadakan selepas tiga atau lima hari majlis perkahwinan.

Adat Kenduri

Kenduri ialah majlis membaca doa dengan menjemput saudara mara dan jiran terdekat dan disajikan dengan jamuan makan selepas membaca doa. Kenduri yang biasanya dilakukan oleh masyarakat Kedayan ialah kenduri doa selamat bagi menyatakan maksud mensyukuri setelah mendapat sesuatu dan kenduri ini biasanya dibuat selepas mengatam padi. Begitu juga halnya dengan kenduri menyambut kelahiran bayi, kenduri gunting rambut bayi, kenduri selepas berkhatan dan kenduri doa arwah iaitu kenduri mengingati keluarga yang telah meninggal dunia. Selain itu ada juga sesetengah orang tua yang masih mempercayai kenduri membaca doa tolak bala kerana rumah dimasuki oleh binatang liar seperti ular dan biawak.

Adat kelahiran

Biasanya adat kelahiran ini adalah berpandukan kepada hukum dan syariat dalam Islam. Anak yang baru dilahirkan akan dibangkan (diazankan) oleh bapa atau lelaki terdekat kepada anak berkenaan). Seterusnya akikah dilaksanakan sebagai perkara sunat mengikut Islam bagi anak yang baru dilahirkan itu. Adat bercukur pula dilakukan apabila anak tersebut telah melangkui usia 1 bulan diadakan secara beramai-ramai dengan melagau (memanggil) saudara mara dan jiran terdekat .

Adat ini biasanya diadakan bacaan berzanji, merhaban dan berselawat ke atas nabi sambil anak tersebut dipotong beberapa helai rambut dan ditabur beras kunyit dan direnjis dengan wangi-wangian. Adat kelambiji (bersunat) juga masih dilakukan sehingga ke hari ini. Majlis ini biasanya dilakukan selepas anak lelaki tersebut berkhatan. Majlis yang dilakukan sama seperti majlis cukur rambut.

Adat Kematian

Apabila seseorang itu telah menginggal dunia, beberapa kepercayaan dan telah menjadi amalan sunnah yang perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. Ianya dilakukan adalah bagi mendoakan si mati semoga roh simati diampuni dosa dan sejahtera. Sebagai memenuhi tuntutan agama masyarakat Kedayan akan mengadakan majlis ini dengan menjemput saudara mara dan jiran untuk mengadakan sembahyang di rumah si mati selama tujuh hari berturut-turut. Selepas itu diadakan kenduri tiga hari diikuti Makan Tujuh hari (kenduri hari ke tujuh) dan kenduri makan empat puluh hari. Kenduri Jumat-jumatan (setiap malam Jumaat) juga diadakan sehingga empat puluh hari tadi. Ini diikuti dengan kenduri haul (ulang tahun kematian) yang akan diadakan pada setiap tahun bagi mengenang kemangkatan si mati.

Kenduri arwah juga turut diadakan pada setiap tahun menjelangnya bulan Syaaban (taqwim Islam) dan biasanya selepas Nisfu Syaaban sebelum menjelangnya Bulan Ramadhan.

Pendidikan

Masyarakat Kedayan di Sabah menerima pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan tidak formal dipelajari oleh kanak-kanak melalui keluarga atau masyarakat yang bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan. Pada peringkat ini kanak-kanak telah diajar cara-cara seperti memancing, memanja, berburu, bertukang, menyumpit,bersawah, dan berternak. Pendidikan ini bermula dengan mengajar kanak-kanak mempelajari kemahiran ini bagi membolehkan mereka berdikari apabila dewasa kelak.

Atas kesedaran mengenai dengan kepentingan pendidikan bagi anak-anak, masyarakat Kedayan juga tidak ketinggalan bagi memberikan pendidikan yang tinggi kepada anak-anak mereka. Anak-anak telah dihantar ke sekolah bagi menimba ilmu pengetahuan yang amat berguna suatu masa kelas di samping dapat mengubah kehidupan mereka sebelum ini yang hanya mengharapkan kepada bercucuk tanam sahaja.
           
Pendidikan secara formal pula amat terhad dan hanya tertumpu pada pendidikan agama Islam seperti membaca al-Quran dan menulis jawi yang diadakan di surau, pondok, serta rumah guru agama. Begitupun pendidikan sekular tidak diabaikan dan menjadikan pendidikan ini sebagai wajib kepada anak-anak masyarakat Kedayan bagi menghadapi masa depan. Anak-anak masyarakat Kedayan mendapat pendidikan asas ini dengan belajar secara formal di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta. Pada peringkat umur 3 hingga 6 tahun anak-anak ini telah menduduki sekolah di Taman Didikan Kanak-kanak ( TADIKA), Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan di sekolah-sekolah swasta.
           
Pada peringkat 7 hingga 12 tahun anak-anak masyarakat Kedayan menerima pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan dan sehinggalah ke sekolah menengah (13 hingga 17) tahun. Selain itu juga pendidikan masyarakat ini juga telah mendapat pendidikan sehingga mencapai ke peringkat ijazah.dengan mengikuti program pensiswazahan di universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Kepercayaan dan agama

Masyarakat etnik di Sabah pada peringkat awal adalah pagan dan mengamalkan kepercayaan animisme. Setiap etnik mempunyai nilai hidup yang berbeza antara satu sama lain. Pengaruh agama Islam pada abad ke-16 secara beransur-ansur telah membawa perubahan dalam kehidupan mereka dan nilai-nilai Islam telah diamalkan terutamanya di kalangan etnik Bajau dan Melayu-Brunei. Begitu juga bagi etnik Kedayan, Islam merupakan agama yang telah dianuti sejak turun-temurun.

Kepercayaan dan pantang larang masyarakat Kedayan tidak banyak bezanya seperti masyarakat Melayu di Semenanjung dan di Sarawak.Begitu juga
seperti masyarakat Islam yang lain, kaum Kedayan juga menyambut hari raya Aidilfitri, hari raya Aidil adha, Maulud nabi s.a.w, Nisfu Syaaban dan Awal Muharram.


Ilmu batin orang Kedayan

Dalam kajian ini juga saya sempat merujuk kepada orang yang tahu tentang ilmu kebatinan orang Kadayan bahawa sebahagian dari ilmu kebatinan kaum ini adalah terpesong dari akidah kita sebagai umat Islam, terutama sekali yang menggunakan mentera. Begitupun dalam kajian ini , ada juga terdapat ilmu kebatinan suku kaum Kadayan yang menggunakan ayat-ayat suci al-quran dan berlandaskan sepenuhnya kepada tatacara dan peradaban Islam, terutamanya dibidang perubatan tradisional.

Pada ketika dahulu ilmu kebatinan ini biasanya digunakan untuk ‘mencuba’ sesuatu kepada perkara atau perbuatan orang. Pada masa dahulu orang-orang tua ‘batupa’(berlawan;bersaing) ilmu batin ini, yang menunjukkan siapa yang lebih tinggi ilmunya. Antaranya ilmu kebatinan yang digunakan apabila adanya majlis perkahwinan atau keramaian, ada di antaranya yang mencubu ilmu batin dalam masakan yang dimasak dalam majlis tersebut. Apa yang berlaku apabila mereka memasak sesuatu makanan(seperti daging) itu tidak akan masak walaupun telah dimasak sehingga berjam-jam lamanya. Bahkan apabila menanak nasi dalam kawah juga tidak akan masak walaupun telah berbau hangit tetapi di atasnya masih juga beras.

Lain pula halnya dengan senapang tidak meletup apabila dipetik bucunya. Ini juga pernah berlaku pada ketika majlis perkahwinan, pengantin lelaki yang datang ke rumah pengantin perempuan akan disambut dengan letupan seperti mercun dan tembakan senapang. Ada di antaranya orang tua yang mempunyai ilmu batin in ‘mencuba’ ilmu batin mereka sehingga senapang itu tidak meletup atau berbunyi walaupun berulang kali di petik.

Selain itu ada juga ilmu batin orang Kedayan ini yang pandai bermain api yang boleh terbang pada waktu malam. Pada orang tua-tua jika ternampak api di atas pokok durian atau di udara, janganlah kita lihat atau tegur kerana ianya boleh membawa musibah kepada yang melawannya.

Ilmu Pantak[1][6] merupakan salah satu ilmu ghaib yang masih diamalkan dalam masyarakat Kedayan. Ianya lebih kepada ilmu yang menyebabkan seseorang itu akan sakit dan mungkin juga menemui ajal jika terkena ilmu pantak ini. Suatu ketika dahulu ilmu ini diamalkan oleh orang tua-tua dan ianya telah semakin pudar kerana pengamal ilmu ini telah meninggal dunia dan ianya bertentangan dengan ajaran Islam.

Ilmu Pugai sememangnya telah terkenal sejak zaman dahulu dalam masrayakat Kedayan. Biasanya ilmu ini seperti juga ilmu pukau yang menyebabkan seseorang anak dara itu terpikat kepada seorang lelaki yang ‘memugainya’. berkeinginan untuk memperisterikannya.

Tapi oang Kadayan jangan dicabar pasal mahunja pasangan. Ada oang Kadayan yang pandai MUGAI. Aku nie tadangaa caita jua nganya, sama ada banaa atu inda, inda taku tahu, tapi PUGAI dikalangan masyarakat Kadayan mimang ujud. Sakuat-kuat PUGAI, caita oang patuhaan mulanya ialah bila bisia dapat MUGAI batu pangilingan lada bananang atas aing. Sandi tu PUGAI Kadayan. Bilakan dikia-kia, batu pangilingan lada atu baat, apa jua olahnya bananang kian. Amun batu pangilingan lada dapat bananang atas aing, apa lagi jalama. Sandi, sandi. Ani kan caita jua nganya. Aku inda ku balajaa ilmu PUGAI.[2][7]

Selain itu terdapat juga kepercayaan tentang burung yang membawa pelbagai khabar yang tidak baik akan berlakunya sesuatu yang buruk di komuniti tersebut masih lagi dipercayai.

Kalau nya kadayan di Brunei Darussalam burung Bugang anitah yang suka membawa khabar inda baik bila ia berbunyi siring rumah diwaktu malam. Kunonnya ada adatah orang kan Nuhon atau sakit kuat sebagai tanda tanda orang hampir siring rumah kan Nuhon. Kepercayaan ini masih dipercayai oleh orang tuha tuha kitani di Brunei Darussalam yang lahir sebelum tahun 70an.Tetapi generasi muda kitani inda ingau lagi pasal bunyian bunyian burung burung membawa khabar ani. Kerana agama kitani Islam sudah kuat berkembang.

Begitu jua ceritanya dengan burung Tuit-tuit bila berbunyi dan lacus lacus terabang barang kepala. Apalagi bila masa menyiut Mengkutut/Bangkutut (udang air tawar) lakas lakastah mulih ketungkalan takut ada yang kan Nuhon dikampung. Bugang jua mun ia hinggap di Bubung rumah masyarakat kitani dahulu lakas lakas makan doa selamat tolak bala ditakuti mati serumah. Begitulah sedikit ceritanya ditempat kami di Negara Brunei Darussalam yang ada masih mempercayainya.[3][8]

Kepercayaan lain pula, masyarakat Kedayaan juga percaya sebelum bertolak meninggalkan rumah untuk pergi ke suatu tempat yang jauh. Jika sekiranya ada kucing melintas di hadapan atau kedengaran bunyi burung gagak sebelum kita berangkat, hendaklah kiuta membatalkan pemergian tersebut kerana bimbang akan berlakunya sesuatu yang tidak baik ke atas kita atau keluarga kita. Petanda ini masih lagi dipercayai oleh masyarakat di kampung sehingga hari ini.







No comments:

Post a Comment